Wednesday, April 18, 2018

Tangisan Rasulullah SAW di Atas Kematian Jaafar ibnu Abu Talib

Jaafar ibnu Abu Talib ialah saudara sepupu Rasulullah SAW, dia pejuang Islam yang utama dan pemimpin para Muhajirin yang berhijrah ke negeri Habsyah (Ethopia). Dia dikenali memiliki dedikasi yang sangat kuat terhadap perjuangan Islam, berkat usahanya menyiarkan Islam, raja Najasyi pemimpin, Habsyah akhirnya memahami Islam dan memeluk agama Allah ini.

Dalam riwayat yang sahih dinyatakan,

"Tatkala para pemimpin kafir Quraisy mengetahui kaum Muslimin berhijrah ke negeri Habsyah, mereka mengutus delegasi untuk memprovokasi raja Najasyi, hingga akhirnya raja Najasy menemui para Muhajirin Islam untuk bertanyakan ajaran Islam yang sebenar dan Jaafar ibnu Abu Talib berusaha menjelaskannya.

Raja Najasyi berkata, 'Terangkan kepada kami apa itu Islam?' Jaafar ibnu Abu Talib menjawab, 'Wahai Raja Habsyah, dahulu kami adalah kaum yang menyembah berhala, makan bangkai, melakukan kejahatan, memutuskan hubungan silaturahim dan melayan jiran dengan tidak baik. Orang-orang kuat menindas orang-orang lemah di antara kami. Kami tetap dalam keadaan seperti itu sehinggalah Allah mengutuskan kepada kami seorang rasul daripada golongan kami sendiri. Kami mengetahui kebenaran tentang asal usul nasabnya, kejujuran, amanah, dan kesucian dirinya. Ia mengajak kami untuk mengesakan Allah dan menyembah-Nya dan meninggalkan apa yang kami sembah dan yang telah disembah oleh nenek moyang kami seperti batu dan berhala.

Dia menyuruh kami untuk berkata jujur, menunaikan amanah, menyambungkan tali silaturahim, melayan jiran dengan baik dan memelihara kehormatan dan darah. Dia melarang kami melakukan kejahatan, bersumpah palsu, memakan harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita yang menjaga kehormatan dirinya, berzina. Dia juga menyuruh kami untuk menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dia menyuruh kami untuk menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa. Kami membenarkannya, lalu kami menyembah Allah yang maha esa dan kami tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.

Kami mengharamkan apa-apa yang diharamkan bagi kami dan menghalalkan apa-apa yang dihalalkan bagi kami, Oleh itu, kaum kami memusuhi, menyeksa dan mengugat kami agar kami kembali menyembah berhala, menghalalkan apa-apa yang dahulu kami halalkan daripada perkara-perkara yang keji. Tatkala mereka memaksa kami, bertindak sewenang-wenangnya, mengugut dan berusaha memisahkan di antara kami dengan kaum kami, maka kami berhijrah (bermigrasi) ke wilayah pemerintahan kamu. Kami memilih kamu dan bukannya yang lain, Wahai raja Habsyah, kami gembira hidup dengan kamu dan kami berharap kamu tidak melayan kami dengan tidak baik.'

Jaafar Ibnu Abu Talib lantas membaca beberapa ayat pertama daripada surah Maryam,



"Kaaf Haa Yaa 'Ain Sood'. Yang dibacakan ini adalah penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada Hamba-Nya, Zakaria, iaitu tatkala dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut. Dia berkata, Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap kecuaian kaum kerabatku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, anugerahilah aku dari sis Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub; dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai."

(Maryam: 1 - 6)

Mendengar bacaan al-Quran itu, Raja Najasyi menangis dan para menteri yang berada di sampingnya juga menangis. Kemudian raja Najasyi mengatakan, 'Sesungguhnya ini (ajaran yang dibawa Muhammad) dan apa yang dibawa oleh Nabi Isa benar-benar bersumber daripada satu ajaran.' Lantas Raja Najasyi memerintahkan delegasi orang kafir agar kembali ke Mekah dan dia berjanji menjamin keselamatan kaum Muslimin yang berhijrah di negerinya, akhirnya dia memeluk Islam setelah menerima surat daripada Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah SAW menetap di bumi Madinah semasa Hijrah. Jaafar ibnu Abu Talib juga berhijrah dari bumi Habsyah ke bumi Madinah untuk menemani (membela dan membantu) perjuangan Rasulullah SAW. Ketika meletus peranf Mu'tah, Rasulullah SAW mengangkat Jaafar ibnu Abu Talib sebagai panglima perang. Dalam pertempuran tersebut, Jaafar mendapat kecederaan yang teruk, terdapat 70 luka di tubuhnya. Dia membawa panji dengan tangan kanannya, lalu ia membawa dengan tangan kirinya dan tangan kirinya juga mengalami hal yang sama. Kemudian dia membawanya dengan lengannya sehingga akhirnya dia gugur sebagai pahlawan syahid (gugur membela agama Allah).

Mendapati sepupunya gugur, Rasulullah SAW tidak mampu menahan tangisannya. Baginda menyatakan kematian Jaafa sambil menitis air mata. Berkaitan dengan Jaafar ini, Rasulullah SAW bersabda, "Aku masuk ke dalam syurga dan ku lihat Jaafar terbang bersama para Malaikat dan kedua-dua sayapnya penuh dengan lumuran darah." Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa Allah memberinya ganti dengan dua sayap sehingga dia dapat terbang dengan kedua-dua sayapnya di syurga. Oleh itu, Jaafar ibnu Abu Talib digelarkan sebagai asy Syahid ath Thayyar (satria Islam yang gugur di jalan Allah yang dapat terbang).

Rasulullah SAW kemudian menemui Asma' binti Umais, isteri Jaafar ibnu Abu Talib untuk menyampaikan berita duka itu. Sewaktu menyampaikan berita duka tersebut, Rasulullah SAW tidak mampu menahan titisan air matanya. Selain itu, keluarga besar Abd Mutalib yang lainnya melepaskan kepergian Jaafar ibnu Abu Talib dengan titisan air mata. Di kala itu, Rasulullah SAW juga melihat Fatimah, anaknya menangis di atas kepergian Jaafar, Rasulullah SAW lantas mendekati Fatimah sambil berujar. "Orang ramai terus menangis di atas kematian orang seperti dia."

(At-Tobaqat al-Kubra, karya Ibnu Saad: 7/207-208)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.

Tuesday, April 17, 2018

Tangis Rasulullah SAW Di Atas Kematian Abu Muttalib

Abu Talib adalah pak cik sekaligus pengasuh Rasulullah SAW selepas meninggalnya Abd Mutalib (datuk Rasulullah SAW). Meskipun tidak mengikrarkan syahadat keislaman, Abu Talib adalah pembela utama kehidupan Rasulullah SAW. Dia berdiri di garis paling depan ketika orang kafir hendak mencederakan Rasulullah SAW.

Dia juga berdiri di garisan paling depan ketika orang kafir hendak  menghalangi dakwah Rasulullah SAW dalam menegakkan kalimah Allah. Oleh itu, Rasulullah SAW tidak mampu menahan titisan air matanya di atas kepergian Abu Talib dan Rasulullah SAW dirundang kesedihan tidak terperi ketika pak ciknya meninggal dunia.

Dalam riwayat yang sahih dinyatakan,

"Tatkala Abu Talib dalam keadaan sakit kuat menjelang Sakaratul Maut (menghembuskan nafas terakhirnya), Rasulullah SAW datang menjenguknya. Ternyata di rumah Abu Talib sudah ada Abu Jahal dan Abdullah ibnu Abu Umayyah ibnu Mughirah. Kepada pak cik terkasihnya itu Rasulullah SAW bersabda, "Wahai pak cikku, ucapkanlah, 'Lailahaillallah (Tiada Tuhan selain Allah), ucapan yang dapat aku jadikan saksi terhadapmu di sisi Allah kelak di negeri akhirat.'

Mendengar ujaran Rasulullah SAW tersebutm Abu Jahal dan Abdullah ibnu Abu Umayyah berkata dengan marah, 'Wahai Abu Talib, adakah kau membenci afama Abd Mutalib?. Rasulullah SAW terus-menerus memujuk dan berharap agar pak ciknya tersebut mahu mengikrarkan kalimah Tauhid serta mengulang-ulang ucapan itu kepada Abu Talib, hingga akhirnya Abu Talib mengatakan ucapan terakhir kepada mereka, bahawa dia tetap pada agama Abu Mutalib dan tidak mahu mengucapkan, 'Lailahaillallah (tiada Tuhan selain Allah)'. Mendapati keengganan pak ciknya mengikrarkan kalimah Tauhid, Rasulullah SAW berusaha menyakinkan pak ciknya, sambil bersabda, 'Sungguh, demi Allah, aku pasti akan memintakan ampunan buatmu, selama aku tidak dilarang melakukan hai itu untukmu.'

Kemudian Allah Menurunkan firman-Nya:




"Tidak sepatunya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyirik itu adalah kaum kerabat mereka, sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyirik itu penghuni nereka jahanam.


(At-Taubah: 113)

Mendapati pak ciknya yang tercinta tidak sudi mengikrarkan kalimah Tauhid dan teguran Allah tersebut, Rasulullah SAW tidak mampu menahan tangisannya. Rasulullah SAW merasakan kepedihan yang tidak terperi kerana seorang yang banyak berjasa kepada dirinya tersebut tidak sudi mengakui keesaan Allah hingga akhir hayatnya. Berkaitan dengan Abu Talib, Allah menurunkan firman-Nya.



"Sesunggihnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.'"

(Al-Qasas: 56 & At-Tarikh al-Kabir, karya al-Bukhari: 5/211-212)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.

Monday, April 16, 2018

Tangisan Rasulullah SAW Di Atas Gugurnya Hamzah ibnu Abd Mutalib

Abdullah ibnu Mas'ud meriwayatkan, dia menceritakan,

"Tatkala Rasulullah SAW melihat jenazah Hamzah ibnu Abd Mutalib diangkat untuk dibawa ke hadapan baginda., Rasulullah SAW tidak mampu menahan titisan air matanya. Tubuh lelaki yang berani itu terbujur kaku dengan dada tercarik-carik. Pak cik dan saudara sepersusuan Rasulullah SAW tersebut telah syahid (gugur di jalan Allah) dalam Perang Uhud. Dan ketika Rasulullah SAW memandang jenazah pak cik terkasihnya itu, tangisan Rasulullah SAW pun bermula. Esak tangisnya terdengar seperti rintihan. Walaupun dengan kesedihan yang tidak terucap dengan kata-kata. Jenazah Tuan Para Syuhada (Sayyid asy Syhada') itu dikafankan dengan kain kafan yang tidak dapat menutup kedua-dua kakinya, lalu dikuburkan bersama saudara sepupu dan sepersusuannya, Abdullah bin Jahsyi, dalam satu liang."

Lebih lanjut Abdullah ibnu Mas'ud menekankan, "Tidak pernah Rasulullah SAW kelihatan sedih sesedih itu. Tidak juga pernah melihat menangis sekeras pada saat itu. Rasulullah SAW sangat terpukul dan menangis tersedu-sedu, sebuah tangisan yang tidak pernah diulanginya sepanjang hidupnya selepas gugurnya Hamzah ibnu Abd Mutalib, pak cik terkasihnya."

(At-Tarikh al-Kabir, karya al-Bukhari: 5/201-202)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.

Sunday, April 15, 2018

Tangisan Rasulullah SAW Di Atas Pemergian Ruqayyah ke Alam Baqa'

Sewaktu kaum Muslimin berhijrah ke bumi Madinah, Ruqayyah juga ikut berhijrah ke Madinah bagi menyusuli Rasulullah SAW yang telah berhijrah terlebih dulu. Dia jatuh sakit sewaktu Rasulullah SAW sedang berada di Badar mempersiapkan perang melawan kaum Musyrikin. Mendengar khabar itu, Rasulullah segera meminta Usman ibnu Affan pulang untuk merawat Ruqayyah. Penyakit Ruqayyah tidak sembuh. Akhirnya puteri Rasulullah ini meninggal pada bulan Ramadan, 17 bulan setelah hijrah.

Berita kemenangan kaum Muslimin di Badar diterima penduduk Madinah tepat pada hari meninggalnya Ruqayyah. Di kala itu Rasulullah masih berada di Badar. Berita kematian Ruqayyah disampaikan oleh Zaid ibnu Haritsah kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW lantas pulang ke Madinah, sewaktu sampai di bumi Madinah, pemakaman telah selesai. Titisan air mata Rasulullah SAW pun tumpah di atas pusara Ruqayyah.

Ibnu Abbas meriwayatkan, dia menceritakan,

"Semasa meninggalnya Ruqayyah, para wanita menangisi kematiannya. Menyaksikan hal itu, Umar ibnu Khattab segera menghampiri mereka dan mencemati mereka. Rasulullah SAW menahan tangan Umar sambil berkata, 'Biarkan mereka menangis, wahai Umar.!' Tetapi hati-hatilah dengan bisikan syaitan yang datang dari hati dan mata adalah daripada Allah dan merupakan rahmat. Yang datang daripada tangan dan lidah adalah daripada syaitan.'

Fatimah az Zahrah, adik kandung Ruqayyah yang di kala itu duduk di samping Rasulullah SAW di hujung makam kakaknya menangis sedih. Dia merasakan kehilangan kakak yang dicintainya. Rasulullah SAW mengelap air mata Fatimah dengan hujung bajunya. Rasulullah SAW meminta Fatimah bersabar. Namun begitu, sebagai manusia biasa dan sebagai ayah daripada seorang anak, Rasulullah tidak mampu menahan titisan air matanya daripada mengalir di atas kepergian Ruqayyah ke alam baqa'."

(Sahih Ibnu Hibban, karya Ibnu Hibban: 1 / 341-342)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.

Saturday, April 14, 2018

Tangisan Rasulullah SAW Di Atas Kematian Abdullah, Puteri Ruqayyah

Ruqqayah adalah anak kedua Rasulullah daripada pernikahannya dengan Khadijah binti Khuwalid. Ruqayyah mengakhiri masa gadisnya sebelum Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi nabi dan rasul. Dia berkahwin dengan Utbah bin Abu Lahab bin Abd Mutalib. Hubungan Ruqayyah dengan keluarga suaminya menjadi renggang kerana Abu Lahab, mentuanya sangat benci Islam dan menentang keras ajaran yang diserukan oleh Rasulullah SAW. Bahkan dia sentiasa mengobarkan api kebencian dalam kaum kafir dan Musyrikin Quraisy untuk memusuhi Islam.

Perkahwinan Ruqayyah dengan Utbah berakhir setelah Abu Lahab, meminta Utbah meninggalkannya. Abu Lahab merasa tersinggung dengan turunnya surah al-Lahab iaitu,


Binasalah keduat-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan begitu pula isterinya, pembawa kayu bakar. Yang di lehernya ada tali daripada sabut.


(Al-Lahab 1 - 5)

Setelah mendengar wahyu tersebut, Abu Lahab berkata dengan marah kepada puteranya, "Kepalaku tidak halal bagi kepalamu kecuali kau ceraikan puteri nabi itu!" Maka Utbah pun bercerai dengan Ruqayyah. Setelah berpisah dengan suami yang kafir itu, Ruqayyah terus mendapat suami Muslim iaitu Utsman ibnu Affan, Ruqqayah dan Usman termasuk orang yang berhijrah ke Habsyah (Ethopia). Apa yang mereka lakukan dipuji oleh Rasulullah SAW dengan ujarnya, "Mereka adalah orang pertama yang hijrah kerana Allah yang Maha Kuasa setelah Nabi Luth."

Perjalanan yang jauh dan melelahkan sewaktu berhijrah menyebabkan Ruqayyah mengalami keguguran. Setelah peristiwa itu Ruqayyah mengandung. Puteri Rasulullah SAW ini kemudian dikurniakan seorang anak lelaki bernama Abdullah. Anak lelaki itu meninggal dunia pada usia dua tahun. Tatkala Rasulullah SAW diberitahu kematian Abdullah, Rasulullah SAW tidak mampu menahan titisan air matanya. Rasulullah SAW bukan saja menangisi cucunya yang meninggal tetapi juga menangis kerana kesedihan yang dialami oleh Ruqayyah.

Rasulullah SAW bersabda kepada Ruqayyah dengan titisan air mata yang mengalir deras daripada wajahnya,

"Jika seorang hamba Allah diuji dengan kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat. Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku?" Malaikat menjawab, "Ya" Allah bertanya lagi, "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?." Malaikat menjawab, "Ya." Allah bertanya kali ketiga, "Apakah kata hamba-Ku?" Malaikat menjawab, "Dia berterima kasih pada-Mu serta mengucapkan 'Daripada Allah kita datang dan kepadanya kita kembali." Kemudian Allah memerintahkan malaikat-Nya, "Binalah untuknya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu dengan nama anaknya yang meninggal dunia itu'."

(Sunan Ibnu Hibban, karya Ibnu Hibban: 1 / 321-322)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.

Friday, April 13, 2018

Tangis Rasulullah SAW Semasa Meninggalnya Anak Lelaki Daripada Salah Seorang Anak Perempuannya

Anas ibnu Malik meriwayatkan, dia menceritakan,

"Pada suatu masa, salah seorang puteri Rasulullah SAW mengurus seorang lelaki menemui Rasulullah SAW untuk memberitahu bahawa anaknya meninggal dunia, sambil meminta Rasulullah agar datang melihat. Rasulullah SAW segera berangkat ditemani Saad ibnu Ubadah dan beberapa sahabat. Ketika sampai di rumah puteri Rasulullah SAW. Jenazah anak lelaki itu diserahkan kepada Rasulullah SAW. Rasullah SAW lantas memeluk erat jenazah cucunya tersebut, titsan air mata Rasulullah SAW menitis deras di pipi baginda. Melihat hal tersebut, Saad ibnu Ubadah berkata, 'Seorang nabi dan utusan Allah menangis?' Rasulullah SAW bersabda, 'Titisan air mata adalah rahmat yang Allah ciptakan di dalam hati hamba-hamba-Nya. Allah hanya menyayangi para hamba-Nya yang penyayang'."

(At-Tarikh al Kabir, karya al-Bukhari: 4 / 179-180)

Dalam riwayat lain disebutkan dengan redaksi hadis.

"Tatkala Rasulullah SAW memeluk dengan titisan sedih anak lelaki salah seorang puterinya, Saad ibnu Ubadah yang berada di samping Rasulullah SAW tercengang sambil berkata, "Wahai utusan Allah, air mata apakah yang menitis daripada mata tuan itu? Rasulullah SAW menjawab, 'Ini adalah rahmat yang dijadikan oleh Allah di dalam hati hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah hanya mengasihi orang-orang yang penuh kasih di antara hamba-hamba-Nya.'."

(Sunan Abu Daud, karya Abu Daud: 4 / 421 - 422)



Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.

Thursday, April 12, 2018

Tangis Sedih Rasulullah SAW Semasa Meninggalnya Ibrahim Anaknya Tercinta

Anas Ibnu Malik meriwayatkan, dia menceritakan,

"Tatkala Rasulullah SAW diberitahu bahawa Ibrahim (anak hasil pernikahan Rasulullah SAW dengan Mariyah al Qibitiyah) sedang sakit teruk, Rasulullah SAW bersama para sahabat bergegas menuju ke tempat Ibrahim, Rasulullah SAW mendapati anaknya itu dalam keadaan Sakaratul Maut. Wajah Rasulullah SAW pun basah dengan linangan air mata.

Melihat hal tersebut, Abdurrahman ibnu Auf berkata, "Wahai putera Auf, ini adalah rahmat (kasih sayang).' Kemudian Rasulullah SAW berujar, 'Air mata yang mengalir dan hati bersedih, tapi kami tidak mengatakan selain yang diredhai Rabb kami dan wahai Ibrahim, sungguh kami bersedih berpisah denganmu'."

(Al- Musnad, karya Ahmad bin Hambal: 1 / 294-295)

Dalam riwayat lain dinyatakan dengan redaksi hadis.

"Tatkala Rasulullah SAW melihat Ibrahim, anak kesayangannya sedang nazak, Rasulullah SAW memeluk erat tubuh Ibrahim, sambil menangis teresak-esak. Melihat hal tersebut, Abdurrahman ibnu Auf yang berada disamping Rasulullah SAW tercengang sambil berkata."Wahai utusan Allah, Tuan Menangis?" Rasulullah SAW menjawab, 'Ini adalah kasih sayang Tuhan (Rahmatu ar Rabbi). Air mata berlinangan, hati terkoyak-koyak kesedihan, namun kami tidak akan melontarkan ucapan kecuali yang diredhai Allah. Wahai anakku Ibrahim, sungguh kami sedih atas perpisahan ini'."

(Fathrul Bari. Karya Ibnu Hajar al-Asqalani 9 / 581 - 582)



Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.