Saturday, April 14, 2018

Tangisan Rasulullah SAW Di Atas Kematian Abdullah, Puteri Ruqayyah

Ruqqayah adalah anak kedua Rasulullah daripada pernikahannya dengan Khadijah binti Khuwalid. Ruqayyah mengakhiri masa gadisnya sebelum Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi nabi dan rasul. Dia berkahwin dengan Utbah bin Abu Lahab bin Abd Mutalib. Hubungan Ruqayyah dengan keluarga suaminya menjadi renggang kerana Abu Lahab, mentuanya sangat benci Islam dan menentang keras ajaran yang diserukan oleh Rasulullah SAW. Bahkan dia sentiasa mengobarkan api kebencian dalam kaum kafir dan Musyrikin Quraisy untuk memusuhi Islam.

Perkahwinan Ruqayyah dengan Utbah berakhir setelah Abu Lahab, meminta Utbah meninggalkannya. Abu Lahab merasa tersinggung dengan turunnya surah al-Lahab iaitu,


Binasalah keduat-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan begitu pula isterinya, pembawa kayu bakar. Yang di lehernya ada tali daripada sabut.


(Al-Lahab 1 - 5)

Setelah mendengar wahyu tersebut, Abu Lahab berkata dengan marah kepada puteranya, "Kepalaku tidak halal bagi kepalamu kecuali kau ceraikan puteri nabi itu!" Maka Utbah pun bercerai dengan Ruqayyah. Setelah berpisah dengan suami yang kafir itu, Ruqayyah terus mendapat suami Muslim iaitu Utsman ibnu Affan, Ruqqayah dan Usman termasuk orang yang berhijrah ke Habsyah (Ethopia). Apa yang mereka lakukan dipuji oleh Rasulullah SAW dengan ujarnya, "Mereka adalah orang pertama yang hijrah kerana Allah yang Maha Kuasa setelah Nabi Luth."

Perjalanan yang jauh dan melelahkan sewaktu berhijrah menyebabkan Ruqayyah mengalami keguguran. Setelah peristiwa itu Ruqayyah mengandung. Puteri Rasulullah SAW ini kemudian dikurniakan seorang anak lelaki bernama Abdullah. Anak lelaki itu meninggal dunia pada usia dua tahun. Tatkala Rasulullah SAW diberitahu kematian Abdullah, Rasulullah SAW tidak mampu menahan titisan air matanya. Rasulullah SAW bukan saja menangisi cucunya yang meninggal tetapi juga menangis kerana kesedihan yang dialami oleh Ruqayyah.

Rasulullah SAW bersabda kepada Ruqayyah dengan titisan air mata yang mengalir deras daripada wajahnya,

"Jika seorang hamba Allah diuji dengan kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat. Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku?" Malaikat menjawab, "Ya" Allah bertanya lagi, "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?." Malaikat menjawab, "Ya." Allah bertanya kali ketiga, "Apakah kata hamba-Ku?" Malaikat menjawab, "Dia berterima kasih pada-Mu serta mengucapkan 'Daripada Allah kita datang dan kepadanya kita kembali." Kemudian Allah memerintahkan malaikat-Nya, "Binalah untuknya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu dengan nama anaknya yang meninggal dunia itu'."

(Sunan Ibnu Hibban, karya Ibnu Hibban: 1 / 321-322)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.