Wednesday, April 18, 2018

Tangisan Rasulullah SAW di Atas Kematian Jaafar ibnu Abu Talib

Jaafar ibnu Abu Talib ialah saudara sepupu Rasulullah SAW, dia pejuang Islam yang utama dan pemimpin para Muhajirin yang berhijrah ke negeri Habsyah (Ethopia). Dia dikenali memiliki dedikasi yang sangat kuat terhadap perjuangan Islam, berkat usahanya menyiarkan Islam, raja Najasyi pemimpin, Habsyah akhirnya memahami Islam dan memeluk agama Allah ini.

Dalam riwayat yang sahih dinyatakan,

"Tatkala para pemimpin kafir Quraisy mengetahui kaum Muslimin berhijrah ke negeri Habsyah, mereka mengutus delegasi untuk memprovokasi raja Najasyi, hingga akhirnya raja Najasy menemui para Muhajirin Islam untuk bertanyakan ajaran Islam yang sebenar dan Jaafar ibnu Abu Talib berusaha menjelaskannya.

Raja Najasyi berkata, 'Terangkan kepada kami apa itu Islam?' Jaafar ibnu Abu Talib menjawab, 'Wahai Raja Habsyah, dahulu kami adalah kaum yang menyembah berhala, makan bangkai, melakukan kejahatan, memutuskan hubungan silaturahim dan melayan jiran dengan tidak baik. Orang-orang kuat menindas orang-orang lemah di antara kami. Kami tetap dalam keadaan seperti itu sehinggalah Allah mengutuskan kepada kami seorang rasul daripada golongan kami sendiri. Kami mengetahui kebenaran tentang asal usul nasabnya, kejujuran, amanah, dan kesucian dirinya. Ia mengajak kami untuk mengesakan Allah dan menyembah-Nya dan meninggalkan apa yang kami sembah dan yang telah disembah oleh nenek moyang kami seperti batu dan berhala.

Dia menyuruh kami untuk berkata jujur, menunaikan amanah, menyambungkan tali silaturahim, melayan jiran dengan baik dan memelihara kehormatan dan darah. Dia melarang kami melakukan kejahatan, bersumpah palsu, memakan harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita yang menjaga kehormatan dirinya, berzina. Dia juga menyuruh kami untuk menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dia menyuruh kami untuk menunaikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa. Kami membenarkannya, lalu kami menyembah Allah yang maha esa dan kami tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun.

Kami mengharamkan apa-apa yang diharamkan bagi kami dan menghalalkan apa-apa yang dihalalkan bagi kami, Oleh itu, kaum kami memusuhi, menyeksa dan mengugat kami agar kami kembali menyembah berhala, menghalalkan apa-apa yang dahulu kami halalkan daripada perkara-perkara yang keji. Tatkala mereka memaksa kami, bertindak sewenang-wenangnya, mengugut dan berusaha memisahkan di antara kami dengan kaum kami, maka kami berhijrah (bermigrasi) ke wilayah pemerintahan kamu. Kami memilih kamu dan bukannya yang lain, Wahai raja Habsyah, kami gembira hidup dengan kamu dan kami berharap kamu tidak melayan kami dengan tidak baik.'

Jaafar Ibnu Abu Talib lantas membaca beberapa ayat pertama daripada surah Maryam,



"Kaaf Haa Yaa 'Ain Sood'. Yang dibacakan ini adalah penjelasan tentang rahmat Tuhan kamu kepada Hamba-Nya, Zakaria, iaitu tatkala dia berdoa kepada Tuhannya dengan suara yang lembut. Dia berkata, Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap kecuaian kaum kerabatku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, anugerahilah aku dari sis Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian keluarga Ya'qub; dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredhai."

(Maryam: 1 - 6)

Mendengar bacaan al-Quran itu, Raja Najasyi menangis dan para menteri yang berada di sampingnya juga menangis. Kemudian raja Najasyi mengatakan, 'Sesungguhnya ini (ajaran yang dibawa Muhammad) dan apa yang dibawa oleh Nabi Isa benar-benar bersumber daripada satu ajaran.' Lantas Raja Najasyi memerintahkan delegasi orang kafir agar kembali ke Mekah dan dia berjanji menjamin keselamatan kaum Muslimin yang berhijrah di negerinya, akhirnya dia memeluk Islam setelah menerima surat daripada Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah SAW menetap di bumi Madinah semasa Hijrah. Jaafar ibnu Abu Talib juga berhijrah dari bumi Habsyah ke bumi Madinah untuk menemani (membela dan membantu) perjuangan Rasulullah SAW. Ketika meletus peranf Mu'tah, Rasulullah SAW mengangkat Jaafar ibnu Abu Talib sebagai panglima perang. Dalam pertempuran tersebut, Jaafar mendapat kecederaan yang teruk, terdapat 70 luka di tubuhnya. Dia membawa panji dengan tangan kanannya, lalu ia membawa dengan tangan kirinya dan tangan kirinya juga mengalami hal yang sama. Kemudian dia membawanya dengan lengannya sehingga akhirnya dia gugur sebagai pahlawan syahid (gugur membela agama Allah).

Mendapati sepupunya gugur, Rasulullah SAW tidak mampu menahan tangisannya. Baginda menyatakan kematian Jaafa sambil menitis air mata. Berkaitan dengan Jaafar ini, Rasulullah SAW bersabda, "Aku masuk ke dalam syurga dan ku lihat Jaafar terbang bersama para Malaikat dan kedua-dua sayapnya penuh dengan lumuran darah." Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa Allah memberinya ganti dengan dua sayap sehingga dia dapat terbang dengan kedua-dua sayapnya di syurga. Oleh itu, Jaafar ibnu Abu Talib digelarkan sebagai asy Syahid ath Thayyar (satria Islam yang gugur di jalan Allah yang dapat terbang).

Rasulullah SAW kemudian menemui Asma' binti Umais, isteri Jaafar ibnu Abu Talib untuk menyampaikan berita duka itu. Sewaktu menyampaikan berita duka tersebut, Rasulullah SAW tidak mampu menahan titisan air matanya. Selain itu, keluarga besar Abd Mutalib yang lainnya melepaskan kepergian Jaafar ibnu Abu Talib dengan titisan air mata. Di kala itu, Rasulullah SAW juga melihat Fatimah, anaknya menangis di atas kepergian Jaafar, Rasulullah SAW lantas mendekati Fatimah sambil berujar. "Orang ramai terus menangis di atas kematian orang seperti dia."

(At-Tobaqat al-Kubra, karya Ibnu Saad: 7/207-208)


Sumber: Buku Menyingkap Rahsia-Rahsia di sebalik Tangisan & Kemarahan Rasullah, Tangisan & Marah Nabi, ditulis oleh Misbah Em Majidy


Bagi mereka yang berminat untuk membeli buku keagamaan,buku novel, buku fiksyen dan lain-lain boleh klik link banner dibawah. Insyallah ia banyak membantu menambah pendapatan tatkala ekonomi yang semakin mencabar dan saya ucapkan terima kasih kerana pembelian buku melalui affiliate link ini.